"sometimes there is NO next time, NO second chance, NO time out.... sometimes....it's NOW or NEVER...."

Thursday 24 November 2011

Utusan Malaysia : The Red Studio




ARKIB : 23/07/2010

Cekal usahakan perniagaan percetakan








Fairus Mohd. Tabiee, bersama kakitangannya di The Red Studio.


INGIN bergelar seorang usahawan bukanlah satu perkara mudah. Diri perlu dipersiapkan baik dari segi fizikal mahupun mental. Mereka yang menceburkan diri di dalam bidang perniagaan juga perlu sanggup menghadapi apa jua risiko.

Ini termasuklah risiko seperti mengalami 'gulung tikar', ditipu pelanggan ataupun pembekal, kekurangan modal dan sebagainya.


Walaupun bidang perniagaan mempuyai pasang surutnya, berbekalkan 'percaya bahawa rezeki ada di mana-mana', Fairus Mohd. Tabiee, 28, telah menceburkan diri dalam bidang itu sejak 2005.


Apa yang menarik mengenai anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini, tanpa berbekalkan sebarang pengalaman apatah lagi ilmu di dalam bidang perniagaan, beliau sanggup menongkah arus dalam usaha memuaskan kehendak hati sendiri.


Pelajar jurusan Perancangan Bandar dan Wilayah, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tidak mudah putus asa malah berani mengambil risiko dalam mengendalikan perniagaannya sehingga berjaya.
Menurut Fairus, minat dalam bidang perniagaan bermula semasa beliau menuntut di UiTM terutama setelah diberi kepercayaan untuk membekalkan barang-barang keperluan dalam menjayakan pelbagai aktiviti pelajar di UiTM seperti T-Shirt, tag nama, barangan cenderahati dan sebagainya.


Selepas tamat pengajian, Fairus telah cuba memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan dengan membuka kiosk di Alamanda, Putrajaya.


Ketika itu beliau menjual barangan perhiasan dalaman dan juga produk-produk cenderahati.
Di situlah bermulanya penerokaan beliau dalam mempelajari tentang selok-belok pengurusan perniagaan dan pada masa yang sama Fairus banyak dibimbing oleh rakan-rakan usahawan yang lebih berpengalaman.
Berbekalkan modal yang telah dikumpul hasil perniagaan kecil-kecilan di Alamanda, beliau bertekad untuk membuka sebuah perniagaan yang berkonsepkan percetakan.


Ternyata apa yang dilakukan oleh Fairus selama lima tahun lalu tidak sia-sia apabila kini beliau merupakan Pengarah di TRS Media Sdn. Bhd. (The Red Studio).








Ketika ditemui baru-baru ini, ternyata bapa kepada seorang cahaya mata itu tidak takut dengan apa yang telah dilakukannya kerana yakin ia mampu melaksanakannya.


''Terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perniagaan malah saya juga tidak mempunyai pengalaman bekerja sebelum ini.


''Jika saya tidak pernah bekerja, ini bermaksud saya tidak pernah mempunyai resume sekali gus tidak pernah menghadiri sebarang temuduga untuk sebarang jawatan.


''Bagaimanapun Alhamdulillah, perniagaan yang diusahakan hari ini semakin berkembang berkat doa dan sokongan keluarga dan kawan-kawan serta pelanggan The Red Studio,'' ujarnya ketika ditemui di premis syarikatnya di Bandar Baru Bangi.


Kini The Red Studio mampu menggaji sembilan orang pekerja dan turut memiliki lima buah mesin pencetak.
The Red Studio hari ini telah melangkah maju dalam aktiviti percetakan.


Daripada lakaran konsep, reka bentuk logo, penghasilan kad nama, kepala surat, risalah, buku, majalah, poster, bunting, kain rentang dan seterusnya ke produk-produk yang lebih besar seperti papan tanda nama, kertas dinding restoran, billboard, pelekat promosi pada bas, lori dan lain-lain kenderaan.


Malah kini The Red Studio sedang bergiat cergas dalam penghasilan ruang galeri di jabatan-jabatan kerajaan.
Walaupun sudah lima tahun beroperasi, dalam usaha memberikan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya, menurut Fairus, beliau sentiasa membuat kajian terlebih dahulu sebelum menghasilkan reka bentuk yang dikehendaki pelanggan.


''Di sini kami amat mementingkan kepuasan hati pelanggan dan sebab itulah kami akan memberikan yang terbaik.
''Ini kerana perniagaan yang saya ceburi mempunyai ramai pesaing dan sebab itulah saya akan memastikan yang terbaik dari The Red Studio,'' tambahnya.


Namun Fairus mengakui, cabaran dalam menjalankan apa jua perniagaan pasti mempunyai pasang surutnya.
Segala-galanya menurut beliau memerlukan usaha berlipat ganda kerana untung atau rugi perniagaannya itu nanti terletak di tangannya sendiri.


Untuk itu, menurut Fairus, dia membohongi dirinya sendiri sekiranya memberitahu bahawa perniagaanya tidak pernah menghadapi sebarang masalah.


''Pastinya saya rasakan masalah yang timbul adalah satu cabaran yang akan membawa kita ke satu tahap yang lebih baik.


''Ia adalah satu proses yang pasti,'' ujarnya.


Mengenai strategi syarikatnya pada masa hadapan, katanya, selaku pengasas syarikat tersebut beliau perlu memastikan prestasinya sentiasa berada pada tahap sebenar, sejajar dengan matlamat untuk menjadi pemain dalam industri itu di peringkat global.


''Kerjaya ini adalah satu ibadah. Saya amat gembira jika satu hari nanti saya dapat memberi peluang kepada orang lain khususnya generasi muda untuk menceburi bidang ini di mana saya boleh berkongsi pengalaman dan kemahiran saya serta rahsia kejayaan The Red Studio.


''Mungkin saya akan menjadikan The Red Studio ini sebagai sebuah perniagaan francais satu hari nanti, Insyaallah,'' katanya.


Bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan The Red Studio, anda boleh hubungi talian 03-89256878/03-89258878, layari laman web di www.theredstudio.com.my atau boleh datang terus ke No.7, Jalan 7/7C, Seksyen 7, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor (bersebelahan JPJ Bangi).

No comments:

Post a Comment