"sometimes there is NO next time, NO second chance, NO time out.... sometimes....it's NOW or NEVER...."

Wednesday, 30 April 2014

KETAM CINA dan KETAM MELAYU

Harini aku kunjungi sahabat cina yang sedang sibuk dengan urusan carwashnya. Memandangkan kereta aku pun dah bercapuk2, aku hantar kereta untuk di polish. Dah lebih 2 bulan aku tak jumpa mamat ni. Harini bila aku jumpa, ada berita besar yang dia kongsikan. Excited sungguh dia bercerita dengan pelat cina nya. Ada juga 2 3 perkataan aku tolong betulkan..pekat betul cinanya..

Mamat ni baru berusia 27 tahun, 5 tahun lebih muda dari aku. Dulu dia bekerja di Shane Shine sebagai manager. Antara jawatan yang besar dan pernah memegang gaji sehingga RM30,000 sebulan. Untuk company cina, gaji mmg jauh lebih tinggi dari company melayu. Itu fenomena biasa. Tak hairan.

Akhirnya mamat ni berenti dan gunakan pengalamannya untuk buka sendiri carwash. Berjayalah dia buka perniagaannya dengan bantuan sorang funder. Funder tu keluarkan RM100k semata2 nak membantu mamat ni dan diambilnya share hanya 25% sahaja. Selain membantu funder ni tokey besar, ada banyak kereta mewah. So, semua kereta ini akan dihantar ke kedai tu untuk "dijaga" dengan rapi.

Sejak carwash ni dibuka 6 bulan lepas, setiap bulan ianya menguntungkan. Belum pernah ada topup duit sendiri utk tampung kos operasi.

Dan bermula la idea mamat ni utk buat "carwash dan polish" bergerak. Katanya lepas ni semua customer dia yang nak dapatkan khidmat polish tak perlu datang kedai. Hanya call dan buat tempahan. Than sebuah van yang beserta crew akan datang untuk mengerjakan kereta mereka. Kena diingat, orang2 kaya bukan hanya ada 1 buah kereta mewah..tapi mungkin 4 atau 5.

Bila diceritakan idea itu pada fundernya, funder tu hanya ambil 1 hari utk fikir. Dan akhirnya bersetuju memodalkan 2 biji van dan modal kerja yang lain. Seminggu lagi akan keluarlah.

Apa yang aku nak ceritakan kat sini bukanlah kehebatan idea mamat tu. Idea itu pada aku hanya biasa2 sahaja. Tapi inilah cara masyarakat cina berniaga. Pada permulaan melangkah alam perniagaan, mereka juga tidak dilayan oleh bank. Disinilah peranan orang2 cina yang sudah berjaya membimbing anak2 bangsa mereka dalam permulaan berniaga. Mereka tiada TEKUN..tiada MARA...

Siapa tokey besar ni? Tokey yang jadi funder mamat ni asalnya hanya seorang peniaga pau ditepi jalan. Dulu dia juga dibantu oleh orang lain. Akhirnya harini dia adalah pemilik perniagaan pau yang di franchise kan dari HongKong. Selain tu bila dah kaya, ada perniagaan2 lain.

Berbeza sungguh budaya meniaga orang melayu. Aku juga ada pengalaman cuba mendapatkan funder. Tapi selama 7 tahun aku meniaga, tak pernah aku jumpa funder yg betul2 nak membantu. Semuanya lintah darat.

Amalan funder melayu atau oarang2 kaya melayu :

1. Kalau datang org melayu yang membawa paperwork dengan idea2 tertentu, selalu sgt diperkecilkan.

2. Mereka rasa diri mereka terlalu gah atas kekayaan yg mereka ada. Sifat ingin membantu tak ada

3. Jika paperwork itu berpotensi, mereka akan cuba jadikan perniagaan mereka sendiri. Proposal ditolak, tetapi idea di cilok dan dibangunkan sendiri.

4. Jika ada yg ingin membantu sekalipun, pasti nilai saham atau share akan diminta jauh melebihi share oleh pembuat proposal itu. Tidak mungkin hanya 25% seperti cerita diatas.

5. Orang melayu yang berjaya tidak percaya pada kebolehan bangsanya sendiri. Kerana apa, lihat background org kaya tersebut. Jika mereka berjaya kerana politik, maka lebih angkuhlah mereka.

6. Orang2 kaya melayu tidak merasa membantu bangsanya adalah tanggungjawab. Cukuplah mereka akan terus selesa dengan diri dan keluarga mereka.

Aku memang jeles dengan budaya orang cina berniaga. Sgt2 jeles. Aku rasa jika diberi peluang, idea2 orang melayu jauh lebih baik dari mamat member aku ni. Tapi mereka tiada tempat untuk kongsikan. Ingin dikongsikan dengan bank, agensi kerajaan atau institusi kewangan? Birokrasi!!!

Benarlah kata orang, KETAM CINA dan KETAM MELAYU sgt berbeza. Jika ketam cina, seekor keluar dari bakul, akan ditarik kawan2 yang lain. Ketam yang didalam bakul pun menolak kawan2 yang ingin keluar. Tetapi ketam melayu, baru nak panjat keluar dari bakul, ditarik2 pula untuk jatuh semula..

Wallahualam.

Bankruptcy : Risiko Biasa Usahawan

Harini aku berjumpa seorang kawan baru. Usianya 59 tahun. Aku memang ramai kawan2 usia begitu. Bagi aku, mereka yang berusia seperti ini pengalamannya lebih luas, ceritanya lebih menarik, kurang sgt jumpa yang masih berfoya2.. pengalaman itu yang ingin aku cedok.

10 tahun lepas dia usahawan berjaya. Berniaga "forklift" di Klang. Rezekinya mencurah2. Buka pula kilang papan dengan beratus pekerja. Kos bayaran gaji sahaja menjangkau RM90,000 sebulan.

Akhirnya dia terus ghairah dengan dunia bisnessnya. Dicuba pula bisness2 yang lain. Akhirnya dia terperangkap dalam "stock market". Apa stock market? Google la sendiri..sebab aku takut nak tahu. Akhirnya dunia perniagaannya berakhir. Kehebatannya berakhir. Kehidupan mewahnya juga berakhir.

Waktu bermula kesusahan hidupnya, income tax pula mula membuka fail2 perniagaannya yang selama ini dia tak declare. Hutang kepada income tax mencecah RM300k. Akhirnya dia terus tumbang. Dia di bankrap oleh pihak bank kerana pelbagai komitmen yang tidak lagi tertampung.

Selama 10 tahun dia akhirnya terpaksa menyembah bumi, membuang egonya, hilang taringnya dan berubah hidup keluarganya. Selama 10 tahun ini dia bekerja dengan seorang dato. Malang lagi, selama 10 tahun ini dia dibayar RM2,000 sebulan tanpa ada apa2 kenaikan, walaupun katanya kerja-kerja yg dibuat tak berbaloi.

Hari ini dia bertemu aku, ingin diminta jika ada peluang2 perniagaan. Katanya isterinya baru terima kwsp RM100,000. Nak dijadikan modal bisness RM50k dan RM50k lagi simpanan jika ada kecemasan. Semangatnya berkobar2 bila bercerita. Tidak tahu yang mana harus di ceritakan dulu. Aku hanya diam dan diakhir pertemuan aku petang tadi, aku hanya bagi pandangan agar duit itu jangan dilaburkan terburu2. Simpanlah elok2..semoga pakcik ini keluar dari dunia hitamnya..

Nota : Bankruptcy adalah risiko biasa kepada usahawan. Jika tidak bersedia dengan risiko, lupakan hasrat nak jadi usahawan.  Hanya teruskan kerja yang ada. Tapi jangan tak tau, salah sorang yang paling kaya di dunia juga punya sejarah bankruptcy dalam hidupnya. Wallahualam...

Saturday, 26 April 2014

OBAMA di Malaysia, Jangan Melopong!!

Assalamualaikum..

Aku nak dapatkan pandangan dan komen dari rakan2.  Ketika amerika menyerang iraq, afganistan, menyokong yahudi, menyokong puak2 penentang islam, membuat fitnah besar kepada islam melalui peristiwa 11 sept, membenarkan beribu2 nyawa orang islam terkorban, diskriminasi agama dan pelbagai jenayah antarabangsa, Malaysia kononnya lantang bersuara pada ketika itu!! Baik dari politik pemerintah atau pembangkang. Masing2 buat protes jalanan, keluar urat leher, pecah anak tekak menjerit2, tak cukup itu, digantung pulak banner2 yang menyerang perbuatan mereka, semua marahkan tindakan amerika. Hebat sungguh bantahan kita semua. Kebanyakannya digerakkan oleh pertubuhan politik dan NGO yang menyokong mana2 parti politik. 

Sensitif sungguh perasaan orang islam Malaysia bila lihat saudara seagama dgn kita disembelih, dibunuh dan dizalimi. Merah padam muka kita menahan marah. Siapa yang tidak tahu, yahudi ada dibelakang amerika.. satu dunia pun tahu.. Ingat lagi Saddam di gantung? Ingat lagi macamane iraq tumbang? Afganistan tumbang?

Harini Obama datang ke Malaysia selepas berpuluh tahun presiden amerika tak pernah singgah..masa pemerintah terdahulu Tun M memimpin, tidak pernah sekali pun mereka nak jengok. Mungkin Malaysia tak dijengok kerana kelantangan PM masa tu yang berani seperti Tun. Berani depan PBB, EU dan lantang di OIC kerana itu mungkin amerika xberapa nak berkenan dengan malaysia.

Cuma aku terfikir satu benda. Selepas berpuluh tahun kita "menunggu" mr president datang, setelah berpuluh tahun kita protes, bantah amerika, berpuluh tahun kita nak suara kita didengar, kenapa hari ini kita seolah2 terpaku bila Abg Obama datang ke Malaysia. Macam tengok konsert Jamal!! Semua surprise...menunggu2 dan rasa terpegun..hilang terus taring kita..macam harimau patah gigi. Takde dah pertubuhan politik, NGO2 nak amik peluang membantah atas sikap zalim mereka. Terlupa dah apa yang dah berlaku, apa yg Abg Obama dah buat. Xde pun nak digerakkan apa2 acara atau majlis untuk sampaikan bantahan kita terhadap kezaliman mereka..

Di pihak kerajaan aku paham, mungkin mereka cuba menunjukkan imej yang baik di depan tokey besar..atas kepentingan perniagaan dan ekonomi negara..siapalah kita nak bandingkan dengan mereka. Di pihak pembangkang dan NGO2 lain? Senyap juga? Kita rasa isu air di lembah klang lebih besar sekarang.

So 3 hari ini, kita tengok sajelah konsert Abg Obama.. mamat tu dah kat sini, xnak tegur2 ke apa yg dia dah buat..cuba ditanya, "yob, teman rase pasni kamu udah2 le tu, jangan le kamu zalim sgt.".. cuba cakap sikit macamtu.. Kalau PM kita yang cakap, lagi bagus..kalau PM kita tak terkeluar, kan ada ulama2..sampaikanlah sikit mewakili org islam Malaysia..
Ye la, Malaysia ni macam timun dengan durian..kita langgar ke, dia langgar ke, kita yang luka..so mungkin kerana itu kita jadi takut nak bersuara..tapi kalau Tun aku rasa dia berani.

Selama berpuluh tahun presiden amerika xsinggap pun, negara kita tetap maju, so bukan jadi alasan nak maju kita tak boleh membantah. Dinegara dia pun, ramai juga yang membantah dasar2 dia..politik di amerika lebih matang..

Cuma aku nak menunggu penuh debar, apa sebenarnya perkembangan hubungan amerika dan malaysia. Dalam sejarah ni..

Harap2, masa depan Malaysia akan terus aman, dapat diperbaiki dari masa ke semasa, pemerintah yang bagus dan berkepimpinan, semua itu dengan kuasa Allah.

Jika aku, aku akan tetap menyambut Obama, tetapi disederhanakan sedikit, tak perlu beriya2 sgt, tanda kita membantah, diadakan pertemuan bersama wakil ulama dan nyatakan pendirian islam. Dan cuit sikit hati obama tu. Mungkin pada kita mencuit itu, mmg hatinya digerakkan oleh Allah untuk tidak lagi zalim kepada orang islam, tak mustahil fenomena akan berubah.

Aku tidak la pulak terlalu extreme sampai nak bersetuju buat bantahan secara kasar. Mungkin kalau aku, xperlu juga sampai nak buat demo2 ni..nanti kalau kuasa besar ni "merajuk" susah juga..so kena bijak..janji masej kita sampai..kemudian hari kuasa Allah.

Yang pelik, ada pulak yang nak melobi suruh jumpa ketua pembangkang. Siap tanya obama "Awat hang mai tak jumpa aku?" Yang nak dikhabarkan, tentang politik, demokrasi, tipu pilihanraya..yang nak protes tindakan zalim amerika, xde pulak.. orang politik kalau bab ni memang pantas!!

So kita tunggulah apa yg berlaku sehari dunia ni..jom tengok wayang..jeng..jeng..jeng..

-Fairus Mohd Tabiee-

Saturday, 15 March 2014

Future Music Festival Asia : Perosak Anak Bangsa!!! Bangsat!!

Walaupun tajuk post aku kasar, sebagai orang islam aku kena mulakan dulu dengan salam..

Assalamualaikum.

Jika tidak kerana isu hangat sekarang MH370, pasti isu Future Music Festival Asia ni akan jadi perkara hangat. Konsert berskala besar di Bukit Jalil yang berjaya meragut nyawa anak bangsa dengan khayalan dadah sehingga overdose.  Sebahagiannya masih kritikal.

Bila kita mengkritik pemerintah, jangan dianggap kita ini pembangkang. Cuma aku tak faham kemana sebenarnya arah tuju yang ingin dibawa oleh pemimpin kita harini kepada anak muda.  Adakah catuannya memang untuk anak2 muda ini terus sesat dan hidup berfoya2 tanpa sentuhan agama???

Future Music Festival Asia (FMFA) ini adalah anjuran syarikat event tempatan, Live Scape Sdn Bhd. Alamat dia No. 40, Jalan Gasing,46000, Petaling Jaya, Selangor,Malaysia.+60377726272. Dan owner syarikat ni ialah Iqbal Ameer. Korang kenal sapa mamat ni? Inilah usahawan berjaya, anak kepada tokey MYDIN!!! Korang google la sendiri..

FMFA ni adalah satu acara konsert berskala besar melibatkan 70 band dan artis diperingkat antarabangsa yang berlangsung 13 hingga 15 Mac 2014 di Bukit Jalil.

Akhirnya Allah swt bayar cash!!! Hari ketiga konsert ini terpaksa dibatalkan kerana pada malam kedua, 5 remaja telah meninggal dunia akibat overdose dadah..lihatlah..siapa yg nak bertanggungjawab???? IQBAL AMEER???Mydin???

Dalam setiap meterial pengiklanan FMFA ni pasti ada logo Visit Malaysia Year 2014. Maksudnya, konsert ini telah mendapat restu dari pemerintah. Selain itu celcom dan syarikat arak adalah antara sponser utama konsert ini.

Tujuan aku menulis ni bukankah semata2 nak menuding jari kepada sesiapa terutama kepada kerajaan..sbb kerajaan pun byk dah bantu aku..tapi isu keruntuhan akhlak ini kena diselesaikan..kalau tidak diselesaikan dengan segera sekalipun, jangan diparahkan lagi..semakin parah dari hari ke hari..

Yang meninggal dunia tu anak2 melayu islam..mati dalam keaiban..kita nak tunggu Tuhan tunjuk macamane lagi? Sudah banyak peringatan yang Tuhan dah tunjuk pada Malaysia. Satu demi satu. Kita dah lupa dengan banjir besar, kemarau, jerebu, mh370??? Semua Malaysia dah dapat..nak tggu Malaysia ni kena gulung ke?

So aku menyeru kepada mereka2 yang berkuasa dan berpengaruh dalam kerajaan, bukalah mata pemimpin2 kita. Hanya mereka yang mempunyai kuasa dan mandat untuk mencorakkan anak2 muda islam ini. Janganlah anak2 muda islam ini terus dilalaikan, terus tersasar, terus keliru. Mereka perlukan bimbingan, mereka perlukan perhatian, mereka perlukan sentuhan agama..

Menteri2 berkaitan mainkanlah peranan korang..jangan hanya syok duduk di kerusi empuk tu..syok bila ramai yang hormat..syok bila ramai yang takut..ini tanggungjawab dan amanah korang yang Allah anugerahkan. Nanti bila korang mati, akan ditanya oleh Allah akan tanggungjawab2 ini..Menteri agama jangan tidur, Menteri belia tolong pandang2 anak muda.

Korang belek2 la gambar2 kat bawah ni.. samada korang akan rasa apa yg aku rasa, tanya diri sendiri..

Mood : geram, rasa nak terajang Iqbal Ameer, sedih, takut, moga Allah ampunkan dosa2 adik2 yang meninggal dunia ini...

Tuesday, 25 February 2014

Bagaimana Untuk Mendaftar Tunetalk Tone Excell (Daftar Sendiri)

Pertama sekali aku ucapkan terima kasih sebab beri sokongan pada bisness yang kita ceburi sama-sama.  Samada korang beli simcard ni kerana aku atau memang kerana nampak peluang kat sini, kita tolak tepi dulu.  Yang penting aku tak akan approach korang kalau bisness ni tak bagus.  Banyak video dan blog yang dah huraikan tentang kelebihan Tunetalk ni.  Korang rujuk la sendiri, aku hanya akan menulis mengikut kefahaman dan pandangan aku.  Bila dapat je sim card yang aku pos, sila ikut prosedur kat bawah.  Tiada jalan pintas kena buat satu-satu :

1. Tengok Video di bawah dan pahamkan.  Kalau yang mana tak paham, tak payah jadikan masalah.  Buat-buat paham je dulu.  Karang aku terangkan yang mana tak paham.


2. Baca buku yang aku pos tu sampai abis.  Yang ini sangat WAJIB!!


3. Savekan no 01115461301 didalam telefon dengan nama "Reg Tunetalk".

4. Untuk aktifkan simcard nih, korang kena SMS seperti di bawah ke no "Reg Tunetalk" yang korang save tadi.  Cara nak SMS mcm kat bawah nih.  Ingat, SMS dari no telefon biasa korang, tak payah buka sim Tunetalk tu masuk dalam phone pulak :

a.  Kalau nak kekalkan No Lama :
Maksudnya, kalau korang tetap nak guna no lama kesayangan korang, ikut arahan di bawah. SMS ini hendaklah dibuat dari line/no lama yang korang nak kekalkan:

Taip :

AD jarak Nama Penuh jarak No SN jarak No IC jarak alamat jarak poskod jarak Line Lama jarak No Line Lama jarak IDP 290626

Contoh :

AD Fairus Mohd Tabiee 80354177 820723016007 No.7,Seksyen 7,Bandar Baru Bangi 43650 Maxis 0123272920 IDP290626

dan hantar ke no "Reg Tunetalk"(01115461301)

Nota : 

*SN number adalah 8 no terakhir pada simcard mcm kat bawah ni.


*Sebelum hantar pastikan semua maklumat betul terutama SN Number, Nama dan IC
*Bagi yang nak kekalkan no lama, pastikan no lama yang korang pakai sekarang ni adalah atas nama dan ic korang sendiri. Baru boleh no lama ni dikekalkan.  Kalau bukan nama korang, register akan tetap berjaya, tetapi korang akan hanya dapat no tel baru Tunetalk dan boleh digunakan seperti biasa.

b. Kalau nak pakai no Tunetalk yang baru :

Taip :

AD jarak Nama Penuh jarak No SN jarak No IC jarak alamat jarak poskod jarak IDP 290626

AD Fairus Mohd Tabiee 80354177 820723016007 No.7,Seksyen 7,Bandar Baru Bangi 43650 Maxis 0123272920 idp290626

dan hantar ke no "Reg Tunetalk"(01115461301)

5. Lepas korang hantar, korang akan terima sms mcm kat bawah ni menandakan simcard tu dah register :


Tapi kadang-kadang SMS reply ni lambat sikit...sebab server yang reply, so korang boleh check juga status registration kat www.tunetalk.ws/status ...so korang masukkan no SN macam kat bawah. Dan status akan terpapar. Lepas dapat SMS atau STATUS seperti kat bawah ni ikut terus langkah ke 6.



6. Barulah patahkan simcard dan masukkan dalam phone. Mana-mana phone pun takpe dan buat satu SMS ke mana-mana no..WAJIB hantar sms utk aktifkan sim tune talk.

7. Bagi yang nak kekalkan no lama, korang akan dapat no baru tunetalk dulu. Dalam masa 48jam, barulah no tu akan bertukar. Contoh, kalau korang pakai maxis, celcom atau lain2, tiba2 line dah xde, tiba2 internet tak boleh pakai, tu maksudnya proses kekalkan no lama dah berjaya.  korang boleh terus tukar simcard baru tunetalk..simcard lama dah boleh buang. Tapi jangan lupa jalankan langkah 6 dulu.

8. Bagi yang memang nak pakai no tunetalk, korang boleh terus pakai simcard baru tu..xde masalah..

9. Lepas simcard dah aktif sepenuhnya (lepas buat 1 SMS kemana-mana no), korang boleh buka www.toneexcel.com dan updatekan maklumat terutama no acc bank sebab duit akan masuk secara automatik pada setiap bulan. Yang lain2 tu korang study sendiri dalam web tu. Cara nak masuk :

Klik button Log In

Username : No IC korang
Password : 1234

pastu tukar la pasword sendiri..

10. Dalam perkara 5 kat atas tu, korang akan dapat SMS atau check status di www.tunetalk.ws/status ..korang akan dapat Member Number.  Member Number tu ialah IDP yang kita mula2 sms untuk register tu..ingat no tu sebab lepas ni bila korang jual simcard ni pada orang lain, masukkan no IDP korang sendiri...jangan masukkan no IDP aku, kang aku yang dapat bonusnya..

Setakat tu je lah nak register..senang sangat..untuk rujukan dan kefahaman lebih lanjut..korang boleh dapatkan maklumat kat sini :

www.tunetalk.com - untuk maklumat umum
www.toneexcel.com - untuk maklumat program simcard yg boleh buat duit, promosi2 dan lain2
www.tunetalk.biz - strategi pemasaran dan ilmu berguna

Tips :
a. Jangan buat stail MLM..kumpul ramai2, cerita ramai2..belanja makan, belanje minum..buang masa, buang duit...
b. Jangan guna istilah "cari orang"..tapi cari pembeli simcard tunetalk...
c. Jangan terus cerita pasal income level2 tu..sebab ramai fobia bila tengok lukis bulat2 tu..aku pun fobia..kenalkan dulu kelebihan Insurans dan point yang dikumpul setiap kali topup. Kelebihan2 ni langsung tak pernah diberi oleh Telco2 yang lain walau dah berbelas tahun menggunakan perkhidmatan diorang..
d. Jangan sibuk2 nak tolong downline, nak pacak2kan kat bawah, nak carikan orang dan janji2 kosong yang lain..nak buat, sila buat..xnak buat pun takpe..
e. Jangan registerkan untuk orang..biar kawan2 kita sendiri yang aktifkan simcard masing2 dengan kaedah sms tu tadi..ajar diorang satu-satu langkah yang betul..
f. Jangan bantu downline untuk ceritakan kelebihan tunetalk pada bakal pembeli..biar dia cerita sendiri..nanti kita penat ke hulur ke hilir...
g. Jual simcard tunetalk sebanyak mungkin dan registerkan direct dibawah IDP sendiri
h. Biasakan jual simcard bersama buku..samaada dia nak baca atau tidak soal no dua..duplikasi tu akan berlaku automatik..

Ok geng selamat berjaya..





Tuesday, 24 December 2013

Ekonomi, Keluarga & Derita


Artikel yang saya tuliskan ini hendaklah dibaca selepas kita semua meletakkan bendera parti ditepi. Ketepikan dahulu warna politik masing-masing, dibaca dan difahami dengan berlapang dada dan mohon beri pendapat bertamadun jika mahu. Saya bukan orang politik, saya hanya rakyat biasa...


Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun 2014, tahun yang penuh dengan cabaran pastinya. Saya ingin membuat sedikit komentar berkaitan kesediaan rakyat marhaen dalam menempuh keadaan ekonomi yang mencabar, dunia ekonomi kapitalis yang berlumba-lumba untuk meraih keuntungan dan kesengsaraan sebahagian mereka yang tertinggal dalam arus perdana ini.

Minggu lepas saya didatangi seorang staf. Saya minta beliau berkongsikan tadbir urus kewangan keluarga dengan gaji minimum RM900 sebulan. Isterinya bekerja sambilan, mempunyai 2 orang anak. Seorang berumur 1 tahun dan seorang lagi berumur 5 tahun. Pendapatan yang diterima oleh isteri sekitar RM500 dengan membuat kuih yang ditempah oleh pelanggannya. Saya terfikir sejenak, bagaimana lelaki ini menguruskan kewangan keluarganya dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM1,400 sebulan. Cerita beliau menjadikan saya ingin menulis artikel ini.


Ekonomi Keluarga dan Keperluan Isi Rumah

Tekanan ekonomi pada waktu ini amat meruncing. Kenaikan pelbagai barangan keperluan bermula dari kenaikan minyak, dibebani lagi dengan penarikan subsidi gula, kenaikan tarif elektrik pada masa akan datang dan kenaikan kadar tol. Semua ini berlaku hanya selang beberapa bulan dan minggu sahaja. Ramai masyarakat tidak bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi semua tekanan ini serentak. Mereka terkejut dengan pengistiharan demi pengistiharan, alasan demi alasan.

Isu penarikan subsidi gula baru-baru ini, walaupun dengan kadar yang munasabah telah “mengoyakkan” lagi poket kita. Bukan nilai ini yang ingin dibicarakan, tetapi kesan dari kenaikan harga gula telah mempengaruhi perletakan harga bagi produk yang menggunakan gula. Contohnya seperti harga makanan dan minuman di gerai-gerai, kuih mueh, kek dan sebagainya. Janganlah pula ada yang mengatakan “lepas ini jangan makan kueh, jangan minum teh o ais, jangan makan kek durian”. Saya pasti, mereka yang menggunakan alasan ini, mungkin Allah sudah menarik sedikit kebijaksanaan mereka.

Lihat pula kesan kepada kenaikan harga tepung. Bukanlah kenaikan itu yang menjadi masalah kerana satu keluarga biasanya hanya menggunakan tepung sekitar 1 hingga 3 kilogram sahaja sebulan. Jika kenaikan tepung RM0.20 misalnya, satu keluarga hanya menanggung peningkatan RM0.60 sahaja sebulan untuk membeli 3 kilo tepung. Tetapi, kesan kenaikan ini lebih besar dari itu. Semua produk berasaskan tepung turut naik pada kadar yang kadangkala tidak munasabah. Lihat pada harga roti canai? Adakah selepas ini roti canai tidak lagi menjadi menu untuk kita bersarapan pagi?

Jika penarikan subsidi gula dan tepung ini telah memberi kesan langsung kepada produk-produk lain berasaskannya, bagaimana kesannya kepada peningkatan harga petrol, kenaikan tariff elektrik dan perubahan harga tol? Tidakkah kesannya lebih besar?

Sejak dari penarikan subsidi petrol, lihatlah apa yang telah berlaku? Kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan. Sebotol kicap yang dulunya dianggap “penyedap” ketika makan, tidak lagi “sedap” didengar harganya. Tidak pernah kita terfikir sebotol kicap sudah berharga RM10.00!!

Bila kita ingin menuding jari pada pengusaha dan peniaga, pasti mereka mempunyai alasan mereka sendiri. Kedai runcit misalnya, jika setiap bulan sebelum ini mereka untung dalam urusniaga sebanyak RM30,000 sebulan, tetapi selepas kenaikan petrol dan kenaikan harga dari pembekal, mereka pasti akan memindahkan kesan itu kepada pengguna. Pemilik kedai runcit mestilah mahu menambah keuntungan mereka atau setidak-tidaknya pendapatan bulanan mereka tetap sama iaitu RM30,000 sebulan. Dan akhirnya pengguna akan terkesan dari kenaikan-kenaikan ini. 

Menjadi rutin bagi mereka yang bekerja makan gaji, setiap bulan selepas mendapat gaji, kita akan ke pasaraya-pasaraya besar seperti Giant, Tesco dan lain-lain. Dulu sebuah troli yang memuatkan barangan keperluan rumah dan makanan sekitar RM150. Tetapi lihatlah harganya sekarang. Kalau anda tidak percaya, cuba perhatikan troli-troli yang beratur untuk membuat bayaran. Dulu penuh mencurah-curah, sekarang rata-rata dari pelanggan pasaraya ini hanya berbelanja setengah dari ruang troli-troli ini.

Saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk berjimat cermat. Mengutamakan keperluan dari keinginan. Saya pasti, semua dari kita sedang menyahut saranan ini. Sekurang-kurangnya jika dulu kita gemar bersarapan pagi dengan “Roti Telur Bawang”, sekarang kita memilih “Roti Kosong Banjir Kuah Lebih”. Itupun jika kuah lebih tidak dicaj oleh mamak di kaunter.


Aktiviti Sosial Bersama Keluarga

Pembentukan aktiviti kekeluargaan amat penting untuk menjamin persekitaran dan pertalian yang harmoni kepada institusi kekeluargaan. Tetapi sedar atau tidak, sebahagian dari aktiviti-aktiviti ini juga memerlukan modal dan kewangan.

Dengan adanya bermacam bentuk pengiklanan di media masa, televisyen, media social dll, secara tidak langsung ianya membentuk persepsi kekeluargaan yang semua orang inginkan. Keseronokan aktiviti berkeluarga yang berjaya diwujudkan seperti pengiklanan Lego Land, Sunway Lagoon, Taman-taman tema yang lain, promosi makanan seperti Pizza Hut, KFC, Mc Donald sangat-sangat berjaya. Pemasaran ini telah mencuit hati-hati kita untuk merasai pengalaman semua ini bersama keluarga tercinta.

Tidak menjadi perkara yang asing, jika anak-anak kita berkata “Papa, jom kita pegi Lego Land, macam best je, macam seronok je”.
Sebagai seorang ketua keluarga, menjadi keinginan kita untuk memenuhi permintaan anak-anak. Tetapi, ketika si bapa melihat baki akaun di bank, hanya tinggal RM300, cukup untuk membiayai keperluan dapur sehingga hujung bulan. Si ayah terus berjanji, “Insyaallah, nanti kita pergi, tunggu ayah ada duit ok?”

Si Ayah telah membina harapan pada si anak, si anak sudah mula bercerita pada rakan-rakannya di sekolah “Ayah kita nak bawa kita pegi Lego Land, ayah awak tak bawa awak…weeekk”. Sehinggalah anak yang berusia 6 tahun ini meningkat usianya 16 tahun, belum juga dibawa anak-anak ke Logo land. Lihatlah betapa besarnya kesan kepada anak-anak ini nanti. Semuanya kerana si ayah tidak mampu untuk mengeluarkan kewangan bagi memenuhi permintaan anak-anak. Manakan tidak, keperluan rumah pun banyak yang terpaksa ditangguhkan, inikan pula ingin bercuti bersama keluarga yang pasti akan memakan modal ratusan atau ribuan ringgit. Mungkin kita tidak tergolong dari kumpulan itu, tetapi percayalah, ramai diantara kita mengalami situasi ini.

Berapa ramai antara kita yang tidak mampu untuk memenangi hati anak mereka oleh kerana kesempitan kewangan ini? Ditambah pula dengan harga kemasukan ke tempat-tempat ini terlalu tinggi. Jadi semua keseronokan ini dibina untuk siapa? Hanya kepada mereka yang ada duit?

Kenapa kadar kemasukan ini pula tinggi? Ini adalah pelaburan pihak swasta yang pasti sudah menelan belanja jutaan ringgit atau lebih dari itu. Pasti para pelabur ingin mendapatkan pulangan segera. Ini bukan taman awam untuk mereka bersuka ria secara percuma. Zaman-zaman PERCUMA ini telah lama berakhir.

Kesan dari kesempitan ini, ramai juga ibu bapa yang mengambil pendekatan yang lebih bijak. Mereka cuba memberi keseronokan kepada anak-anak ke tempat yang tidak memerlukan bayaran yang mahal. 

“Jika ingin mandi manda, tidak perlu ke Sunway Lagoon, jom kita ke Sungai Congkak!! Airnya lagi sejuk dari sunway lagoon. ”

“Jika nak menonton wayang cerita Thor, tunggu saja dvd “pirate” keluar, kosnya baru RM7, boleh tengok banyak kali, nanti ayah belikan “popcorn” kat pasar malam, sama je rasanya”


Ekonomi dan Jenayah Yang Semakin Parah

Saya juga amat terkejut apabila membaca sebuah artikel yang telah mengaitkan Kuala Lumpur sebagai antara 10 bandar yang amat merbahaya dan tidak selamat. Dalam tempoh 3 tahun, peningkatan jenayah meningkat 70%. Sama ada ianya fakta yang tulen atau tidak, saya tidak pasti. Kerana itu saya menyambut baik tindakan kerajaan dalam perlaksanaan Ops Cantas.
Jika diamati, mengapa jenayah boleh meningkat begitu mendadak? Selain dari kebanjiran warga asing yang tidak terkawal, punca utama berlakunya jenayah adalah faktor ekonomi.

Ada diantara kita yang mungkin terpaksa melakukan pelbagai penipuan, mencuri, merampas harta orang lain dan apa-apa tindakan yang diluar jangkaan adalah keranan tekanan ekonomi. Buktinya, dulu pencuri kasut di masjid, pencuri tabung masjid dan lain-lain kes kecurian “amatur” adalah dikalangan penagih dadah. Mereka terpaksa mencuri untuk mendapatkan duit dan duit itu akan digunakan untuk membeli dadah. Tetapi kebelakangan ini sudah mula ada diantara mereka yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli susu anak, membayar hutang, membayar yuran sekolah adik dan lain-lain. Dahulu jarang sekali kita mendengar berita-berita seperti ini. Ini menunjukkan bebanan ekonomi yang dialami masa ini memberi kesan langsung kepada pertumbuhan jenayah.

Bermula dengan mencuri kasut di masjid, apabila sudah berjaya mereka berani membuat jenayah lebih berat, memeras ugut, menculik, merompak, merompak bersenjata dan akhirnya berani membunuh!!!
Sifirnya sangat mudah “ Bila ekonomi terbeban, jenayah akan parah”
Ketika saya kanak-kanak 25 tahun yang lalu, ibu saya menghadiahkan sebuah basikal. Saya gunakan basikal itu untuk meronda satu kampung. Tidak puas dengan kampong sendiri, kampong sebelah pun saya terokai. Harini saya membeli basikal pula kepada anak saya, tetapi kasihan dia, dia hanya dibenarkan main basikal di kawasan parking kereta rumah. Paling jauh pun di jalan hadapan rumah, itupun ditemani ibunya atau saya sendiri. Saya tahu kebanyakan dari anda juga begitu. Jadi apakah maknanya itu? Sendiri senyum, sendiri fikir.


Jom berjimat, Rakyat juga Pemerintah

Dalam tekanan ekonomi seperti ini, bukanlah masanya untuk kita menuding jari. Menyalahkan sesiapa, yang hijau salahkan yang biru, yang merah menuding yang hijau. Seakan tiada langsung penyelesaian. Orang politik terus berpolitik, rakyat terbanyak terus terbeban. Sampai bila? Yang berpolitik sibuk bercerita kesusahan rakyat, membuat pelbagai sidang akbar, mereka-reka banyak fakta, menyampaikan bantuan itu ini sambil mengambil gambar dan dimuatkan dalam akbar, lebar senyumnya sambil mengangkat ibu jari tanda “best”. Apa yang “best” tidak difahami. Bila diselok poketnya, tersimpan kunci Mercedes E240 yang baru didaftarkan, baru tadi bercerita soal kesusahan, bebanan, penjimatan kepada golongan miskin. Dunia apakah semua ini.

Kita juga tidak perlu menjadi sangat radikal dalam berbicara soal ini. Bukan masanya bagi kita untuk menambah lagi isu yang perlu diurai. Samaada rakyat terbanyak atau pemerintah harus sama-sama memainkan peranan untuk menangani isu ini. Bukankah pemerintah itu tugasnya untuk menyediakan kebaikan kepada rakyatnya?

Sebagai rakyat, saya berpendapat memang wajib kita berjimat. Ianya bukan lagi pilihan tetapi kemestian. Tangguhkan dulu keinginan, buat pilihan yang bijak dalam mendapatkan keperluan. Harus seimbang antara keperluan diri, keluarga dan anak-anak. Utamakanlah dahulu apa yang lebih penting. Dari sudut ekonomi keluarga, elakkan dari kita terikat dengan liability yang berpanjangan seperti pinjaman bank. Pinjaman peribadi tanpa tujuan yang sering ditawarkan oleh koperasi bagi kakitangan kerajaan hanya akan memusnahkan perancangan kewangan keluarga jika pinjaman itu hanya bertujuan untuk menukar “spotrim” dan “audio system” kereta MyVi anda. Jika tiada spotrim “Vossen” pun, kereta anda masih boleh dipandu dengan selamat. 

Kurangkan aktiviti diluar rumah yang boleh mengganggu kewangan. Cuba cari idea untuk menjalankan aktiviti dirumah seperti bermain “Saidina” bersama anak-anak atau lain-lain. Wujudkan suasana yang selesa untuk anak-anak supaya mereka tidak bosan ketika berada dirumah. Jika mereka tidak bosan ketika dirumah, mereka tidak mengajak kita keluar,jika mereka tidak mengajak kita keluar, kita tidak perlu singgah di mesin ATM. Jika ingin berbelanja, jangalah terlalu boros. Uruskan kewangan dengan baik.
Pemerintah juga harus bersikap terbuka. Janganlah apabila ditegur, golongan yang menegur terus dianggap melawan kerajaan. 

Ketika Khalid bin Al Walid dilantik menjadi ketua panglima Islam, beliau sering teringat apa yang pernah disampaikan oleh Abu Bakar. “Pangkat dan perlantikan sebagai ketua itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi sebagai ketua memegang amanah yang besar untuk menjalankan tanggungjawab, mereka amat takut dengan jawatan itu kerana jika tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, pasti Allah SWT akan murka”.

Kerajaan juga lebih harus berhemah dalam mengurus tadbir kewangan negara. Laporan audit yang parah harus cepat diubati. Ketirisan perlu dibendung dengan segera. Rakyat juga akan tersenyum lebar jika mendapati pemerintah berjimat dan tidak berlaku kebocoran. Rakyat pasti akan marah, jika selepas ini ada pula “kambing yang dibela didalam kondo”. Yang sudah, sudahlah…

Saya cuba memahami tekanan dan perancangan kerajaan dalam menangani krisis dan isu ini. Kerajaan berpendapat ianya adalah penderitaan jangka pendek kepada rakyat untuk memberi kesan yang lebih baik kepada negara dalam jangka panjang. Saya sangat neutral dalam perkara ini dan tidak bersifat menyalahkan kerajaan. Tetapi persoalannya, adakah rakyat mampu menghadapi tekanan sehebat ini?

Saya menyarankan juga agar kerajaan membuat pendekatan yang lebih baik dalam menjaga ekonomi negara. Terlalu kerdil untuk kita berbicara soal kewangan negara. Tetapi inilah hakikatnya, jika terlalu banyak perkara yang tidak perlu dilakukan, ekonomi negara semakin terhimpit.
Dengarlah rintihan rakyat terbanyak, mereka ini susah, jika tidak membantu secara total jangan pula dibebani dengan itu dan ini. Jadilah pemerintah berjiwa rakyat. Berjiwa rakyat bukan sekadar mengambil gambar dengan bantuan beras, memberi “mock-up” cek, memberi beg sekolah, ianya harus lebih dari itu.

Sebagai pembangkang pula, buangkanlah sifat suka sangat membangkang. Semuanya tidak betul. Sebahagian dari fakta yang dikeluarkan juga tidak dinafikan kebenarannya. Dan ada juga antara saranan kerajaan itu harus disambut baik oleh pembangkang. Orang politik duduklah semeja, berbincang soal rakyat. 

Anwar Ibrahim itu homoseksual, Rosmah dengan jetnya peribadinya, Najib dengan pembazirannya, Mat Sabu dengan syiahnya, Lim Guan Eng dengan perkaumannya – rakyat tidak mahu dengar itu lagi. Sudah bertahun perkara ini diulang-ulang, jika makanan sudah muntah, jika ganja telah "overdose". Rakyat letih, penat, lelah, semput dengan semua ini. Rakyat mahukan haknya untuk dibela, dipelihara, disayangi, diharmonikan kehidupannya, dibantu bila susah, diseronokkan jiwa-jiwanya.

Semoga selepas ini, bebanan rakyat akan tersemat dihati pemimpin. 

Fairus Mohd Tabiee
Saya Orang Biasa-Biasa

Thursday, 28 November 2013

Biografi Muhammad bin Abdullah

Membaca mmg dah menjadi hobi aku..dari buku, paper, majalah, jurnal, blog apa saje bahan bacaan..walaupun sebahagiannya aku tak paham pun..terutama bab ekonomi..aduh susah nak paham tapi aku cuba juga utk paham..sebab aku percaya, orang2 yang berjaya pasti gemar membaca..

Baru2 ni aku beli senaskah buku Biografi Muhammad bin Abdullah.penulisan Zulkifli Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd. Rahman..terbitan PTS Islamika..harga RM35 Semenanjung dan RM38 utk sabah n sarawak..Buku ni aku beli di Galeri Syabab tingkat 3 PKNS Bangi.

Kisah perjalanan Nabi Muhammad rasul junjungan kita. Buku ini memang hebat. Menceritakan kisah2 perjalanan sebelum datangnya islam sehingga wafatnya Rasulullah. Bahasa yang digunakan mudah untuk difahami. Semakin diselak muka surat semakin menarik kisahnya. Sebelum ini banyak juga buku berkaitan sejarah Nabi Muhammad saw yang aku baca, tapi kali ini lebih tekun..lebih terkesan..Sedar tak sedar hanya dalam masa 4 hari aku dah abiskan 475 muka surat.

Di pengakhiran pembacaan ketika kisah Muhammad wafat, semakin sebak rasa dada nih. Besar betul kasih dan sayang Muhammad pada umatnya. Jika nak dibandingkan akhlak Muhammad dgn kita, mungkin tak sampai 1% apa yang ada pada kita.

Nabi pernah dipukul sehingga patah giginya semasa peperangan, dihina dan dimaki oleh Abu Jahal, dilempar dgn najis oleh pemuda Quraisy, isterinya Siti Aisyah difitnah berzina dgn sahabat baginda, diracun oleh wanita yahudi.dituduh ahli sihir.dituduh gila.tetapi baginda terus sabar menjalankan amanah dan wahyu Allah swt.

Pengorbanan dan kesabaran bagindalah yang menjadikan aku islam hari ini. Selepas wafatnya baginda, Bilal tak mahu azan lagi kerana kesedihan yang amat sangat, Abu Bakar mengalirkan air mata, Umar tidak percaya atas kewafatan baginda dan bersedia memancung siapa yg mengatakan Muhammad sudah wafat.

Ramai kaum arab yang menentang baginda secara terang2. Yang lebih sedih lagi bila Rasullah dikhianati sendiri oleh golongan munafik yang berpura2 islam dan golongan ini masih dianggap sahabat baginda. 

Selain pengorbanan Muhammad, buku ini juga menerangkan secara ringkas pelbagai peperangan antara org islam dan kafir. Antara perang yang menarik perhatian aku adalah perang Khaibar antara Islam dan pakatan yahudi. Akhirnya islam tertegak diseluruh semenanjung arab samaada mereka memeluk islam atau tunduk kepada kerajaan islam dgn membayar jizyah.

Sehinggalah kerajaan Rom yang dipimpin oleh Harcules juga mengakui keperibadian dan kehebatan agama Allah dan tunduk pada kerajaan islam. 

Aku cadangkan korang belilah buku nih..korang tak akan menyesal..dan korang akan rasa betapa besarnya pengorbanan Muhammad kepada umatnya..

Ya Allah, semoga aku tergolong dari umat Muhammad yang sentiasa merindui Rasullah dan mendapat syafaatnya kelak. Moga aku menjadikan Muhammad sebagai pedoman hidupku sehingga berakhirnya nafasku..Ya Allah, aku akan sentiasa menyintai Muhammad kekasihMu. Amin...