Artikel yang saya
tuliskan ini hendaklah dibaca selepas kita semua meletakkan bendera parti
ditepi. Ketepikan dahulu warna politik masing-masing, dibaca dan difahami
dengan berlapang dada dan mohon beri pendapat bertamadun jika mahu. Saya bukan orang politik,
saya hanya rakyat biasa...
Tidak lama lagi kita akan melangkah ke tahun 2014,
tahun yang penuh dengan cabaran pastinya. Saya ingin membuat sedikit komentar
berkaitan kesediaan rakyat marhaen dalam menempuh keadaan ekonomi yang mencabar,
dunia ekonomi kapitalis yang berlumba-lumba untuk meraih keuntungan dan
kesengsaraan sebahagian mereka yang tertinggal dalam arus perdana ini.
Minggu lepas saya didatangi seorang staf. Saya
minta beliau berkongsikan tadbir urus kewangan keluarga dengan gaji minimum
RM900 sebulan. Isterinya bekerja sambilan, mempunyai 2 orang anak. Seorang
berumur 1 tahun dan seorang lagi berumur 5 tahun. Pendapatan yang diterima oleh
isteri sekitar RM500 dengan membuat kuih yang ditempah oleh pelanggannya. Saya
terfikir sejenak, bagaimana lelaki ini menguruskan kewangan keluarganya dengan
pendapatan isi rumah sebanyak RM1,400 sebulan. Cerita beliau menjadikan saya
ingin menulis artikel ini.
Ekonomi Keluarga dan Keperluan Isi Rumah
Tekanan ekonomi pada waktu ini amat meruncing.
Kenaikan pelbagai barangan keperluan bermula dari kenaikan minyak, dibebani
lagi dengan penarikan subsidi gula, kenaikan tarif elektrik pada masa akan
datang dan kenaikan kadar tol. Semua ini berlaku hanya selang beberapa bulan
dan minggu sahaja. Ramai masyarakat tidak bersedia dari segi mental dan fizikal
untuk menghadapi semua tekanan ini serentak. Mereka terkejut dengan
pengistiharan demi pengistiharan, alasan demi alasan.
Isu penarikan subsidi gula baru-baru ini, walaupun
dengan kadar yang munasabah telah “mengoyakkan” lagi poket kita. Bukan nilai
ini yang ingin dibicarakan, tetapi kesan dari kenaikan harga gula telah
mempengaruhi perletakan harga bagi produk yang menggunakan gula. Contohnya
seperti harga makanan dan minuman di gerai-gerai, kuih mueh, kek dan
sebagainya. Janganlah pula ada yang mengatakan “lepas ini jangan makan kueh,
jangan minum teh o ais, jangan makan kek durian”. Saya pasti, mereka yang
menggunakan alasan ini, mungkin Allah sudah menarik sedikit kebijaksanaan
mereka.
Lihat pula kesan kepada kenaikan harga tepung.
Bukanlah kenaikan itu yang menjadi masalah kerana satu keluarga biasanya hanya
menggunakan tepung sekitar 1 hingga 3 kilogram sahaja sebulan. Jika kenaikan
tepung RM0.20 misalnya, satu keluarga hanya menanggung peningkatan RM0.60
sahaja sebulan untuk membeli 3 kilo tepung. Tetapi, kesan kenaikan ini lebih
besar dari itu. Semua produk berasaskan tepung turut naik pada kadar yang
kadangkala tidak munasabah. Lihat pada harga roti canai? Adakah selepas ini
roti canai tidak lagi menjadi menu untuk kita bersarapan pagi?
Jika penarikan subsidi gula dan tepung ini telah
memberi kesan langsung kepada produk-produk lain berasaskannya, bagaimana
kesannya kepada peningkatan harga petrol, kenaikan tariff elektrik dan
perubahan harga tol? Tidakkah kesannya lebih besar?
Sejak dari penarikan subsidi petrol, lihatlah apa
yang telah berlaku? Kenaikan harga barangan tidak dapat dielakkan. Sebotol
kicap yang dulunya dianggap “penyedap” ketika makan, tidak lagi “sedap”
didengar harganya. Tidak pernah kita terfikir sebotol kicap sudah berharga
RM10.00!!
Bila kita ingin menuding jari pada pengusaha dan
peniaga, pasti mereka mempunyai alasan mereka sendiri. Kedai runcit misalnya,
jika setiap bulan sebelum ini mereka untung dalam urusniaga sebanyak RM30,000
sebulan, tetapi selepas kenaikan petrol dan kenaikan harga dari pembekal,
mereka pasti akan memindahkan kesan itu kepada pengguna. Pemilik kedai runcit
mestilah mahu menambah keuntungan mereka atau setidak-tidaknya pendapatan
bulanan mereka tetap sama iaitu RM30,000 sebulan. Dan akhirnya pengguna akan
terkesan dari kenaikan-kenaikan ini.
Menjadi rutin bagi mereka yang bekerja makan gaji,
setiap bulan selepas mendapat gaji, kita akan ke pasaraya-pasaraya besar
seperti Giant, Tesco dan lain-lain. Dulu sebuah troli yang memuatkan barangan
keperluan rumah dan makanan sekitar RM150. Tetapi lihatlah harganya sekarang.
Kalau anda tidak percaya, cuba perhatikan troli-troli yang beratur untuk
membuat bayaran. Dulu penuh mencurah-curah, sekarang rata-rata dari pelanggan
pasaraya ini hanya berbelanja setengah dari ruang troli-troli ini.
Saya juga menyambut baik saranan kerajaan untuk
berjimat cermat. Mengutamakan keperluan dari keinginan. Saya pasti, semua dari
kita sedang menyahut saranan ini. Sekurang-kurangnya jika dulu kita gemar
bersarapan pagi dengan “Roti Telur Bawang”, sekarang kita memilih “Roti Kosong
Banjir Kuah Lebih”. Itupun jika kuah lebih tidak dicaj oleh mamak di kaunter.
Aktiviti Sosial Bersama Keluarga
Pembentukan aktiviti kekeluargaan amat penting
untuk menjamin persekitaran dan pertalian yang harmoni kepada institusi
kekeluargaan. Tetapi sedar atau tidak, sebahagian dari aktiviti-aktiviti ini
juga memerlukan modal dan kewangan.
Dengan adanya bermacam bentuk pengiklanan di media
masa, televisyen, media social dll, secara tidak langsung ianya membentuk
persepsi kekeluargaan yang semua orang inginkan. Keseronokan aktiviti
berkeluarga yang berjaya diwujudkan seperti pengiklanan Lego Land, Sunway
Lagoon, Taman-taman tema yang lain, promosi makanan seperti Pizza Hut, KFC, Mc
Donald sangat-sangat berjaya. Pemasaran ini telah mencuit hati-hati kita untuk
merasai pengalaman semua ini bersama keluarga tercinta.
Tidak menjadi perkara yang asing, jika anak-anak
kita berkata “Papa, jom kita pegi Lego Land, macam best je, macam seronok je”.
Sebagai seorang ketua keluarga, menjadi keinginan
kita untuk memenuhi permintaan anak-anak. Tetapi, ketika si bapa melihat baki
akaun di bank, hanya tinggal RM300, cukup untuk membiayai keperluan dapur sehingga
hujung bulan. Si ayah terus berjanji, “Insyaallah, nanti kita pergi, tunggu
ayah ada duit ok?”
Si Ayah telah membina harapan pada si anak, si anak
sudah mula bercerita pada rakan-rakannya di sekolah “Ayah kita nak bawa kita
pegi Lego Land, ayah awak tak bawa awak…weeekk”. Sehinggalah anak yang berusia
6 tahun ini meningkat usianya 16 tahun, belum juga dibawa anak-anak ke Logo
land. Lihatlah betapa besarnya kesan kepada anak-anak ini nanti. Semuanya
kerana si ayah tidak mampu untuk mengeluarkan kewangan bagi memenuhi permintaan
anak-anak. Manakan tidak, keperluan rumah pun banyak yang terpaksa
ditangguhkan, inikan pula ingin bercuti bersama keluarga yang pasti akan
memakan modal ratusan atau ribuan ringgit. Mungkin kita tidak tergolong dari
kumpulan itu, tetapi percayalah, ramai diantara kita mengalami situasi ini.
Berapa ramai antara kita yang tidak mampu untuk
memenangi hati anak mereka oleh kerana kesempitan kewangan ini? Ditambah pula
dengan harga kemasukan ke tempat-tempat ini terlalu tinggi. Jadi semua
keseronokan ini dibina untuk siapa? Hanya kepada mereka yang ada duit?
Kenapa kadar kemasukan ini pula tinggi? Ini adalah
pelaburan pihak swasta yang pasti sudah menelan belanja jutaan ringgit atau
lebih dari itu. Pasti para pelabur ingin mendapatkan pulangan segera. Ini bukan
taman awam untuk mereka bersuka ria secara percuma. Zaman-zaman PERCUMA ini
telah lama berakhir.
Kesan dari kesempitan ini, ramai juga ibu bapa yang
mengambil pendekatan yang lebih bijak. Mereka cuba memberi keseronokan kepada
anak-anak ke tempat yang tidak memerlukan bayaran yang mahal.
“Jika ingin mandi manda, tidak perlu ke Sunway
Lagoon, jom kita ke Sungai Congkak!! Airnya lagi sejuk dari sunway lagoon. ”
“Jika nak menonton wayang cerita Thor, tunggu saja
dvd “pirate” keluar, kosnya baru RM7, boleh tengok banyak kali, nanti ayah
belikan “popcorn” kat pasar malam, sama je rasanya”
Ekonomi dan Jenayah Yang Semakin Parah
Saya juga amat terkejut apabila membaca sebuah
artikel yang telah mengaitkan Kuala Lumpur sebagai antara 10 bandar yang amat
merbahaya dan tidak selamat. Dalam tempoh 3 tahun, peningkatan jenayah
meningkat 70%. Sama ada ianya fakta yang tulen atau tidak, saya tidak pasti.
Kerana itu saya menyambut baik tindakan kerajaan dalam perlaksanaan Ops Cantas.
Jika diamati, mengapa jenayah boleh meningkat
begitu mendadak? Selain dari kebanjiran warga asing yang tidak terkawal, punca
utama berlakunya jenayah adalah faktor ekonomi.
Ada diantara kita yang mungkin terpaksa melakukan
pelbagai penipuan, mencuri, merampas harta orang lain dan apa-apa tindakan yang
diluar jangkaan adalah keranan tekanan ekonomi. Buktinya, dulu pencuri kasut di
masjid, pencuri tabung masjid dan lain-lain kes kecurian “amatur” adalah
dikalangan penagih dadah. Mereka terpaksa mencuri untuk mendapatkan duit dan
duit itu akan digunakan untuk membeli dadah. Tetapi kebelakangan ini sudah mula
ada diantara mereka yang terpaksa mencuri kerana ingin membeli susu anak,
membayar hutang, membayar yuran sekolah adik dan lain-lain. Dahulu jarang
sekali kita mendengar berita-berita seperti ini. Ini menunjukkan bebanan
ekonomi yang dialami masa ini memberi kesan langsung kepada pertumbuhan
jenayah.
Bermula dengan mencuri kasut di masjid, apabila
sudah berjaya mereka berani membuat jenayah lebih berat, memeras ugut,
menculik, merompak, merompak bersenjata dan akhirnya berani membunuh!!!
Sifirnya sangat mudah “ Bila ekonomi terbeban,
jenayah akan parah”
Ketika saya kanak-kanak 25 tahun yang lalu, ibu
saya menghadiahkan sebuah basikal. Saya gunakan basikal itu untuk meronda satu
kampung. Tidak puas dengan kampong sendiri, kampong sebelah pun saya terokai.
Harini saya membeli basikal pula kepada anak saya, tetapi kasihan dia, dia
hanya dibenarkan main basikal di kawasan parking kereta rumah. Paling jauh pun
di jalan hadapan rumah, itupun ditemani ibunya atau saya sendiri. Saya tahu
kebanyakan dari anda juga begitu. Jadi apakah maknanya itu? Sendiri senyum,
sendiri fikir.
Jom berjimat, Rakyat juga Pemerintah
Dalam tekanan ekonomi seperti ini, bukanlah masanya
untuk kita menuding jari. Menyalahkan sesiapa, yang hijau salahkan yang biru,
yang merah menuding yang hijau. Seakan tiada langsung penyelesaian. Orang
politik terus berpolitik, rakyat terbanyak terus terbeban. Sampai bila? Yang
berpolitik sibuk bercerita kesusahan rakyat, membuat pelbagai sidang akbar,
mereka-reka banyak fakta, menyampaikan bantuan itu ini sambil mengambil gambar
dan dimuatkan dalam akbar, lebar senyumnya sambil mengangkat ibu jari tanda
“best”. Apa yang “best” tidak difahami. Bila diselok poketnya, tersimpan kunci
Mercedes E240 yang baru didaftarkan, baru tadi bercerita soal kesusahan,
bebanan, penjimatan kepada golongan miskin. Dunia apakah semua ini.
Kita juga tidak perlu menjadi sangat radikal dalam
berbicara soal ini. Bukan masanya bagi kita untuk menambah lagi isu yang perlu
diurai. Samaada rakyat terbanyak atau pemerintah harus sama-sama memainkan
peranan untuk menangani isu ini. Bukankah pemerintah itu tugasnya untuk
menyediakan kebaikan kepada rakyatnya?
Sebagai rakyat, saya berpendapat memang wajib kita
berjimat. Ianya bukan lagi pilihan tetapi kemestian. Tangguhkan dulu keinginan,
buat pilihan yang bijak dalam mendapatkan keperluan. Harus seimbang antara
keperluan diri, keluarga dan anak-anak. Utamakanlah dahulu apa yang lebih penting.
Dari sudut ekonomi keluarga, elakkan dari kita terikat dengan liability yang
berpanjangan seperti pinjaman bank. Pinjaman peribadi tanpa tujuan yang sering
ditawarkan oleh koperasi bagi kakitangan kerajaan hanya akan memusnahkan
perancangan kewangan keluarga jika pinjaman itu hanya bertujuan untuk menukar
“spotrim” dan “audio system” kereta MyVi anda. Jika tiada spotrim “Vossen” pun,
kereta anda masih boleh dipandu dengan selamat.
Kurangkan aktiviti diluar rumah yang boleh
mengganggu kewangan. Cuba cari idea untuk menjalankan aktiviti dirumah seperti
bermain “Saidina” bersama anak-anak atau lain-lain. Wujudkan suasana yang
selesa untuk anak-anak supaya mereka tidak bosan ketika berada dirumah. Jika
mereka tidak bosan ketika dirumah, mereka tidak mengajak kita keluar,jika
mereka tidak mengajak kita keluar, kita tidak perlu singgah di mesin ATM. Jika
ingin berbelanja, jangalah terlalu boros. Uruskan kewangan dengan baik.
Pemerintah juga harus bersikap terbuka. Janganlah
apabila ditegur, golongan yang menegur terus dianggap melawan kerajaan.
Ketika Khalid bin Al Walid dilantik menjadi ketua
panglima Islam, beliau sering teringat apa yang pernah disampaikan oleh Abu
Bakar. “Pangkat dan perlantikan sebagai ketua itu bukanlah sesuatu yang boleh
dibanggakan, tetapi sebagai ketua memegang amanah yang besar untuk menjalankan
tanggungjawab, mereka amat takut dengan jawatan itu kerana jika tidak dapat
menjalankan tugas dengan baik, pasti Allah SWT akan murka”.
Kerajaan juga lebih harus berhemah dalam mengurus
tadbir kewangan negara. Laporan audit yang parah harus cepat diubati. Ketirisan
perlu dibendung dengan segera. Rakyat juga akan tersenyum lebar jika mendapati
pemerintah berjimat dan tidak berlaku kebocoran. Rakyat pasti akan marah, jika
selepas ini ada pula “kambing yang dibela didalam kondo”. Yang sudah, sudahlah…
Saya cuba memahami tekanan dan perancangan kerajaan
dalam menangani krisis dan isu ini. Kerajaan berpendapat ianya adalah penderitaan
jangka pendek kepada rakyat untuk memberi kesan yang lebih baik kepada negara
dalam jangka panjang. Saya sangat neutral dalam perkara ini dan tidak bersifat
menyalahkan kerajaan. Tetapi persoalannya, adakah rakyat mampu menghadapi
tekanan sehebat ini?
Saya menyarankan juga agar kerajaan membuat
pendekatan yang lebih baik dalam menjaga ekonomi negara. Terlalu kerdil untuk
kita berbicara soal kewangan negara. Tetapi inilah hakikatnya, jika terlalu
banyak perkara yang tidak perlu dilakukan, ekonomi negara semakin terhimpit.
Dengarlah rintihan rakyat terbanyak, mereka ini
susah, jika tidak membantu secara total jangan pula dibebani dengan itu dan
ini. Jadilah pemerintah berjiwa rakyat. Berjiwa rakyat bukan sekadar mengambil
gambar dengan bantuan beras, memberi “mock-up” cek, memberi beg sekolah, ianya
harus lebih dari itu.
Sebagai pembangkang pula, buangkanlah sifat suka
sangat membangkang. Semuanya tidak betul. Sebahagian dari fakta yang
dikeluarkan juga tidak dinafikan kebenarannya. Dan ada juga antara saranan
kerajaan itu harus disambut baik oleh pembangkang. Orang politik duduklah
semeja, berbincang soal rakyat.
Anwar Ibrahim itu homoseksual, Rosmah dengan jetnya
peribadinya, Najib dengan pembazirannya, Mat Sabu dengan syiahnya, Lim Guan Eng
dengan perkaumannya – rakyat tidak mahu dengar itu lagi. Sudah bertahun perkara
ini diulang-ulang, jika makanan sudah muntah, jika ganja telah
"overdose". Rakyat letih, penat, lelah, semput dengan semua ini.
Rakyat mahukan haknya untuk dibela, dipelihara, disayangi, diharmonikan
kehidupannya, dibantu bila susah, diseronokkan jiwa-jiwanya.
Semoga selepas ini, bebanan rakyat akan tersemat
dihati pemimpin.
Fairus Mohd Tabiee
Saya Orang Biasa-Biasa
No comments:
Post a Comment