Assalamuaikum dan Salam Sejahtera,
Kehadapan Ketua Pengarah JPJ Malaysia. Semoga saudara sihat sejahtera dalam menggalas tugas harian disamping keluarga tercinta.
Bermacam cerita tentang kredibiliti saudara sedang dipersonal dan dipertonton oleh masyarakat. Bukan hanya marhaen, tetapi dikalangan kelompok saudara sendiri. Kadang2, dalam kita menggalas tanggungjawab yang besar, kita tidak perasan yang mana satu perlu diletakkan sebagai "priority". Mungkin juga, saudara terlalu mendengar "think tank" pegawai2 kanan saudara tanpa saudara sedar, ada sebahagian besarnya tidak logik untuk saudara persetujui. Melainkan saudara terlalu lemah dalam menganalisis buruk baiknya dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Mungkin juga terlalu empuk tempat duduk saudara sehingga saudara terlena. Teruskanlah lena jika itu pilihan saudara.
Tuan KP,
Adakah saudara tahu, saudara sedang ditertawakan oleh umum atas isu no pendaftaran kenderaan, penapis cahaya(tinted) dan lampu HID. Saudara ditertawakan bukan kerana operasi ini, saudara ditertawakan kerana alasan saudara yang kononnya modifikasi itu semua menyebabkan peningkatan kemalangan. Maka dengan operasi ini unjuran kemalangan maut pada tahun 2020 dapat dikurangkan.
Jika saudara memaksa saya untuk percaya apa yang saudara katakan, saya juga WAJIB percaya bahawa dikampung saya ada seekor kambing yang sedang terbang!! Level kewarasan saya belum boleh terima itu lagi.
Tuan KP,
Jika benar niat saudara untuk mengawal kemalangan maut, ayuh saya tunjukkan jalannya.
1. Cuba saudara lihat, kemalangan2 maut yang berlaku melibatkan kematian yang tinggi dalam satu2 kes itu banyak melibatkan kenderaan berat. Trailer yang membawa lebih muatan, trailer panjang membawa balak, lori2 pasir, lori2 kayu, lori2 simen. Kenderaan ini adalah salah satu penyumbang besar kepada kemalangan2 maut ini. Apa kata, jika saudara menekankan operasi kepada kenderaan2 ini dahulu. Pastikan kenderaan2 ini dalam keadaan sempurna, dipandu dengan tidak merbahaya.
Pemandu kenderaan ini diwajibkan membuat pemeriksaan kesihatan berjadual bagi memastikan mereka bebas dadah. Faktor dadah juga boleh menyebabkan pemandu tidak dapat mengendalikan kenderaan dengan baik. Untuk pengetahuan saudara, memang ada dikalangan pemandu2 kenderaan berat terutama yang memandu jauh akan menggunakan bahan terlarang ini. Ini biasa bukan benda yang janggal. Tetapi tidak semua pemandu kenderaan ini begitu.
2. Kemalangan yang membabitkan bas ekspress juga menyumbang kehilangan nyawa yang tinggi. Cuba saudara selak semula rekod2 yang lepas, dalam tempoh 10 tahun ini, berapa banyak kemalangan yang mengorbankan jiwa membabitkan bas ekspress? Jika membabitkan kemalangan bas ekspress, kita tidak terkejut bila mendengar angka kematian yang tinggi. Pada waktu itu, sibuk semua sang penguasa garang menunjukkan taring mereka. Yang pelik, selepas sebulan taring mereka masuk semula. Seharusnya saudara melihat2 kerjasama antara jabatan saudara bersama SPAD dan juga JKJR. Jika sudah ada, diperkasakan lagi. Jangan mengaku saudara sudah hebat dalam hal ini jika masih ada pemandu bas yang ditangkap menggunakan alkohol atau dadah ketika memandu. Jika masih ada pemandu yang memandu berbekalkan puluhan saman kesalahan jalanraya.
3. Mungkin sudah lama saudara tidak memandu sendiri. Jawatan saudara melayakkan saudara mempunyai pemandu. Saya tidak argue hal itu. Silakan..cuma sesekali cuba saudara menjengah juga kualiti jalan di Malaysia. Berapa ramai sebenarnya yang telah kehilangan nyawa akibat kualiti jalan yang teruk, berlubang sana sini dan beralun. Jika kualiti jalan juga menjadi penyumbang, kenapa tidak saudara mengajak KP JKR minum2 sambil lunch nasi arab. Jika jalan kampung, cuba2 ber"whatsap" dgn KP perumahan dan kerajaan tempatan untuk bincang soal itu. Tidak salah buat itu semua, bukankah kerajaan sudah memperkenalkan NBOS (National Blue Ocean Strategy).
4. Tidak dinafikan, rakyat Malaysia memang bersopan santun tetapi tidak di jalanraya. Apa kata saudara memperkenalkan pendekatan untuk memberi kesedaran yang lebih berkesan kepada rakyat terbanyak. Saudara boleh menggunakan pendekatan dengan saluran televisyen. Buatkan kisah benar episod demi episod tentang penderitaan keluarga mangsa akibat kemalangan maut, punca kemalangan dan kesannya kepada keluarga mangsa. Buatkan beberapa versi mengikut bahasa yang berbeza. Jika Neolofa yang berlakon, pasti saudara juga tidak terlepas menyaksikan kisah ini. Promosikan keselamatan dan memupuk etika pemanduan yang baik melalui saluran elektronik ini. Ambillah pendekatan memupuk bukan hanya menghukum.
5. Saudara juga boleh memperkenalkan kursus pendek mungkin 1 hingga 2 jam setiap 5 tahun pembaharuan lesen memandu. Sekurang-kurangnya mereka yang ingin memperbaharui lesen memandu, akan diberi penerangan dan kefahaman berkaitan kesedaran diri dan etika memandu. Jika ianya diwajibkan, pasti kesannya akan ada. Walaupun pasti mendapat kritikan, program ini jauh lebih logik berbanding operasi no plat yang saudara sedang jalankan sekarang.
6. Penunggang motosikal juga adalah antara mangsa tertinggi kematian akibat kemalangan maut. Saudara sebagai KP JPJ,tidak sukar untuk saudara membawa isu ini kepada kepimpinan tertinggi. Banyakkan laluan motosikal, segala pembangunan baru atau pembinaan highway baru haruslah mesra motosikal. Sekurang-kurangnya pihak berkuasa lebih mudah memantau dan diyakini, kemalangan maut membabitkan motosikal dapat dikurangkan.
7. Dari dalam jabatan pula, saudara mungkin boleh memperkasakan soal integriti dan kesedaran isu rasuah di kalangan pegawai unit penguatkuasa. Pastikan pegawai2 saudara bebas 100% dari rasuah supaya jabatan saudara mempunyai kredibiliti yang tinggi dan pesalah jalanraya mendapat hukuman yang setimpal.
8. Jika benar saudara memang hendak membasmi sehabis2nya soal plat kenderaan, tinted dan lampu hid ini, cuba fikirkan kerjasama bersama KASTAM dan pihak polis untuk memberhentikan penjualannya di kedai2 aksesori. Jika sekatan awal dibuat di premis2 ini, pasti pengguna sukar mendapatkannya. Cuma saya kurang arif untuk tujuan itu, boleh atau tidak.
Tahukah saudara, banyak kenderaan "recond" yang diimport dari negara luar telah dipasang cermin gelap. Ianya bukan penapis cahaya yang dipasang kemudian. Kenderaan ini dibenarkan oleh KASTAM untuk masuk ke pasaran di Malaysia. Tetapi apabila pengguna membeli, pengguna yang akan menanggung segala masalah. Kenapa tidak diperingkat pelepasan KASTAM itu disekat terlebih dahulu? Harga untuk menukar semula ke cermin terang memerlukan belanja ribuan ringgit.
Tuan KP,
Lihatlah..berapa banyak perkara yang saudara boleh beri perhatian dahulu sebelum saudara melancarkan operasi ini.
Tahukah saudara, ketika operasi ini dijalankan, rakyat baru sahaja menghadapi kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kewangan keluarga. Baru ingin mengumpul duit, terpaksa pula menukar tinted kenderaan, menukar lampu dan plat kereta. Mungkin antara RM500 hingga RM1000 dibelanjakan. 5 bulan lagi, datang pula 6% GST menyapa. Cuti sekolah ini tidak seperti yang lepas2. Ramai ibu bapa yang terpaksa menangguhkan perancangan bercuti bersama anak2 kerana sebahagian budget telah digunakan untuk memenuhi peraturan yang saudara bina.
Tuan KP,
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk pembaca membenci saudara jauh sekali menghasut masyarakat untuk membenci jabatan saudara. Tetapi ini adalah rintihan sebahagian besar dari pengguna kenderaan di Malaysia. Terlalu banyak yang telah kami korbankan kepada pentadbir negara. Dan saya mewakili 28 juta rakyat Malaysia, tolak saudara seorang, ingin melahirkan kekecewaan kami atas operasi yang saudara restui. Kami memohon supaya saudara mempertimbangkan semula saman2 yang saudara telah keluarkan. Jika penulisan ini sampai kepengetahuan saudara, bacalah dengan hati yang terbuka. Insyaallah hikmahnya jauh lebih besar dari segalanya. Amin..
Fairus Mohd Tabiee
Rakyat Marhaen