Eurovac Trip
SELEPAS menikmati keindahan di kaki Banjaran Alps, perjalanan keluar dari tapak perkhemahan di Alpencamping, Austria disambut dengan hamparan padang rumput yang dipenuhi bunga-bunga liar pelbagai warna.Pemandangan 'countryside' yang cukup memukau itu mengingatkan penulis kepada babak di dalam filem The Sound of Music. Secara kebetulan lokasi persinggahan kami ketika itu tidak berapa jauh dengan kawasan pergunungan Salzburg, tempat penggambaran filem berkenaan.
Austria merupakan negara kedua yang dilalui kumpulan Eurovac 2011. Trip jelajah Eropah menaiki kenderaan rekreasi (motorhome) itu adalah yang pertama dianjurkan di negara ini. Dari Austria, pengembaraan 19 orang peserta termasuk lima orang pihak penganjur ketika itu masih berbaki enam buah negara iaitu Liechtenstein, Switzerland, Itali, Perancis, Belgium dan Belanda.
Pengembaraan bermula
Kabin dalam motorhome yg memuatkan 5-6 orang. |
Terdahulu sebelum itu, kepenatan penerbangan selama lebih 12 jam dari Kuala Lumpur ke Jerman direhatkan di sebuah hotel tepi sungai di Munich. Hotel berusia 600 tahun itu menjadi satu-satunya penginapan hotel sepanjang trip kerana pada malam berikutnya peserta akan bermalam di tapak perkhemahan.
Kesempatan berada di Munich tidak dilepaskan untuk melawat dataran Marienplatz, bekas tapak perniagaan dari Zaman Pertengahan Inggeris yang dipenuhi sejarah dan seni bina medieval. Munich yang merupakan ibu negeri kepada negeri persekutuan Bavaria di Jerman memperlihatkan kami budaya dan teknologi yang mengagumkan.
Keesokan harinya, penantian para peserta untuk memulakan jelajah berakhir apabila empat buah motorhome yang dipandu oleh pihak penganjur tiba di depan hotel. Kenderaan yang setiap satu mampu memuatkan lima orang penghuni itu bakal menjadi 'hotel bergerak' peserta sepanjang 11 hari jelajah Eropah.Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan pemanduan sebelah kiri (stereng), perjalanan dari Munich ke Austria berjalan lancar dengan pengguna-pengguna jalan raya yang cukup berhemah.
Membeli-belah barang mentah utk kegunaan trip. |
Pemandangan di sekitar Alps pada awal pagi yg sempat dirakam penulis. |
Perjalanan kami singgah di tapak perkhemahan Alpencamping, hentian motorhome yang popular berdekatan dengan pekan Nenzing, Austria. Pusat rekreasi di lereng bukit yang dikelilingi hutan pokok pain itu menyajikan kami pemandangan puncak Banjaran Alps yang memutih diselimuti salji. Perkhemahan malam pertama memberi peluang kepada peserta untuk mengenal kemudahan yang disediakan di dalam motorhome seperti tempat tidur, dapur, peti sejuk dan bilik mandi. Penyediaan bekalan elektrik dan air (dari tapak khemah) serta makanan mentah pula diuruskan oleh pemandu setiap motorhome.
Selepas menikmati makan malam di dalam suhu antara di bawah 10 darjah Celsius, kami terlena di dalam keselesaan motorhome masing-masing. Keesokan harinya, keindahan di tapak perkhemahan karavan itu ditinggalkan demi meneruskan perjalanan yang masih jauh. Selepas Austria kami tiba ke negara ketiga iaitu Liechtenstein, antara negara terkecil di dunia yang mempunyai 14 buah kampung. Liechtenstein dengan populasi kira-kira 35,000 penduduk terletak sepenuhnya di jajaran Alps yang dilalui kami sebelum memasuki Switzerland.
Bergambar bersama motorhome di Switzerland!! |
Camp site Alpencamping di Austria. |
Walaupun tiada persinggahan (bermalam) di Switzerland perjalanan sejauh kira-kira 400 kilometer ke Milan, Itali langsung tidak menjemukan kerana keindahan alam yang menemani kami di kiri kanan jalan. Jika tidak memandang ke puncak Alps, pandangan pasti terpukau pada istana-istana lama yang dibina tergantung di puncak bukit. Ketibaan di Itali disedari apabila salah seorang pemandu memberi penerangan mengenai Campione d'Italia iaitu sebuah penempatan di tepi Tasik Lugano. Kawasan persempadanan yang berada di depan mata ketika itu menandakan kami sudahpun meninggalkan Switzerland dengan penuh ketakjuban pada keindahan alamnya.
Di tengah-tengah kota Milan, Itali |
Milan sebagai kota fesyen penuh elegan menawarkan peluang kepada peserta untuk membeli-belah dan melawat tempat-tempat bersejarah. Salah satu daripada tarikan terbesar di kota itu adalah dataran Piazza del Duomo di mana terletaknya gereja gotik terbesar di dunia. Seni bina setinggi 45 meter yang kini menjadi pusat kota Milan itu mengambil masa selama enam abad untuk disiapkan (dibina pada 1380).
Bersebelahan dengannya adalah Galleria Vittorio Emanuele. Bangunan yang dinamakan sempena raja Itali pertama, menempatkan kedai-kedai dan restoran terawal di Milan. Bangunan berkubah kaca itu kini menjadi 'bilik pameran' jenama-jenama berprestij seperti Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Massimo Dutti.
Perhentian kami seterusnya adalah Paris, Perancis, destinasi kemuncak bagi setiap keluarga yang mengikuti Eurovac 2011. Di tengah-tengah dataran hijau Champ de Mars, semua terpegun melihat Menara Eiffel yang diidam-idamkan. Kesempatan berada di bawah struktur tertinggi di Paris itu tidak dilepaskan untuk mendapatkan cenderahati dan merakam gambar kenang-kenangan.
Selepas menatap sepuas-puasnya keajaiban dunia itu, kami menuju ke sebelah timur kota Perancis untuk menyelongkar dunia penuh fantasi di Disneyland Paris. Keseronokan selama setengah hari di taman tema itu membuatkan segala kepenatan yang dirasai lenyap sekelip mata. Hari ketujuh menjadi hari paling mencabar bagi peserta Eurovac 2011. Dari Paris, perjalanan ke Calais sejauh lebih 800 kilometer menuju ke pengkalan feri SeaFrance untuk menyeberang ke Dover.
Peluang melawat Disneyland Paris |
Namun, penat lelah kami memandu dari awal pagi musnah apabila kebenaran untuk memasuki England dinafikan Imigresen British atas sebab yang tidak dijelaskan meskipun kumpulan memiliki dokumen perjalanan yang lengkap. Pengembaraan Eurovac 2011 akhirnya akur kepada peraturan ketat yang dikenakan. Perjalanan kemudian menuju ke Amsterdam, Belanda. Tempoh memandu selama lebih 15 jam pada hari berkenaan turut menjadi kenangan yang tidak dilupakan penulis sebagai salah seorang pemandu motorhome.
Kekecewaan terubat sebaik kami tiba di Camping Het Rietveen, tapak perkhemahan yang terletak di pinggir bandar Amsterdam. Kawasan pinggir tasik yang dihuni itik-itik liar yang bebas berterbangan terus melenyapkan kegusaran di hati. Kesempatan berada di kota Belanda tidak melepaskan oleh peserta untuk menaiki bot pesiaran melalui terusan yang menjadi nadi kota yang terkenal dengan industri perdagangan kapal sejak sekian lama.
Bunga tulip di Keukenhof Garden |
Hadiah terakhir yang menjadi pelengkap Eurovac 2011 adalah kunjungan ke Keukenhof iaitu taman bunga terbesar di dunia (seluas 32 hektar) di wilayah selatan Belanda. Apatah lagi kunjungan pada musim bunga adalah waktu terbaik untuk melihat kelopak-kelopak tulip yang berkembang mekar.
Selain susunan tulip pelbagai warna, peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan di depan kincir, ikon paling popular negara Belanda. Maklumat lanjut mengenai trip boleh diperolehi daripada wakil EuroVac 2011 Addy 019-2677301
Penulis a.k.a Motorhome driver. |
No comments:
Post a Comment